Followers

Sunday, 18 September 2016

DETIK 12 MALAM - BAB 3

#Kes 1

Bab 3

“HOSPITAL tempat larangan merokok,” Zaim menyentap rokok yang masih bernyala di bibir Baim. Puntung rokok itu ditenyeh dengan tapak kasutnya. Walau pun gambar mengerikan diletakkan pada kotak rokok, ianya tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada perokok tegar. Mereka masih membelinya. Walau pun rokok sudah dinaikkan harga, perokok tetap juga membelinya. Tidak sekotok pastinya  rokok batang dibeli.

            Baim mengekori langkah Zaim tanpa banyak fikiran. Kedua-dua belah tangan diseluk ke dalam saku seluar. Zaim menunjukkan identiti kadnya di kaunter pertanyaan sebelum salah seorang petugas hospital membawa ke wad persendirian yang ditujui.

            Azhnita telah dulu tiba di wad yang menempatkan pesakit bernama Balkis. Azhnita mengambil keterangan dari Balkis. Rakan setugasnya berdiri di sisi seraya menyoal gadis itu. Balkis nyaris kehilangan nyawa malam itu. Depan keretanya remuk. Dia hanya mengalami kejutan dan kecederaan kecil di dahi.

            Cerita Balkis nampak meragukan detektif merangkap rakan setugas Azhnita. Dia menghala pandangan pada Azhnita. Gadis itu kelihatan serius mendengar cerita dari mulut Balkis. Apa yang lebih menarik perhatian, Balkis mengatakan hantu berbaju merah itu adalah Amelia dengan wajah yang terbakar. Rakan setugas Azhnita melirik senyuman sinis di hujung bibir seakan kelakar dengan cerita Balkis itu.

            Pintu wad dikuak. Zaim masuk bersama Baim dimuka pintu. Azhnita bingkas bangun. Azhnita sempat menjeling Baim dengan riak yang tidak senang.

            “Azhnita… kita saya mahu berbicara dengan awak di luar sebentar.”
            Azhnita angguk menurut. Pintu wad itu ditutup semula.

            “Kenapa mamat selekeh ni ada bersama tuan?”

            “Jangan banyak soal. Apa yang dapat awak dari keterangan Balkis?”
            Azhnita mengebam bibir.

            “Balkis nampak hantu Amelia.”

            Zaim memengang hujung dagu.
            “Tuan tak percaya lagi?”

            Zaim memandang Baim. Baim tidak banyak bicara. Dia mengambil gambar di sekeliling wad berkenaan dengan kemeranya. Azhnita mendengus. Dalam hospital pun dia ambil gambar.
Gila ke apa lelaki seorang ini?

            Mata Baim terpaku pada susuk perempuan berpakaian serba merah yang mengekori langkah seorang jururawat itu. Perempuan itu merenung ke arahnya tajam sebelum hilang bagaikan angin.

            “Zaim… boleh kau tunjukkan rupa arwah Amelia pada aku?” Zaim mengalihkan kepalanya ke muka Zaim.
            “Okey.”

            “Ini hadiah untuk kau.” Baim mengeluarkan sekeping foto dari celah poket jaket jean yang dipakai kepada Azhnita. Azhnita terlopong melihat gambarnya. Nyaris dia menjerit di situ. Siapa perempuan berlumruan darah yang berdiri di belakangnya itu?

            “Hati-hati… jangan sampai ‘dia’ ikut balik.” ujar Baim separuh berbisik. Dia mengikut Zaim masuk semula ke wad tersebut.

            Azhnita menggenggam jari-jemarinya. Gambar itu direnyukkan lalu disimpan dalam kocek seluar.

 **********************************************************

BALKIS tidak dapat melelapkan matanya walau sesaat.Rasa takut menerjah. Dia seperti terlihat bayangan Amelia yang berbaju merah itu. Wajah terbakar Amelia yang menggerunkan. Mata Amelia yang penuh dengan api dendam.

            “Pengkhianat harus mati!” kata-kata itu masih tergiang-giang.

            Maafkan aku, Amy. Maafkan aku. Balkis memeluk kedua-dua belah lututnya. Tubuhnya menggeletar. Jantung Balkis berdengup kencang. Matanya melingas kiri dan kanan. Apabila dia mendongak kepala, Amelia yang berbaju merah itu berada dalam posisi terbalik bertentang mata dengannya. Mata Amelia merah menyala. Amelia menyeringai mengerikan.

            Balkis menjerit. Dia bingkas turun dari katil dan melangkah keluar dari wad tersebut. Hairan hospital itu menjadi sunyi sepi. Tiada seorang pun kelihatan di mata Balkis. Seakan hanya dia seorang penghuni di hospital itu.

            “Tolong aku! Tolong aku! Aku tak mahu mati!” Balkis berteriak dalam tangisan.

            Bunyi derapan kasut tumit ada di mana-mana saja. Kelibat bayang Amelia kelihatan di mana juga dia menyorok.

            “Pengkhianat harus mati!” Amelia menyebut ayat yang sama.

            “Aku tak bersalah. Aku terpaksa!” Balkis menekup kedua belah telinganya. Sedar tak sedar dia sudah berada di bumbung hospital.

            Bayangan Amelia masih mengejarnya. Amelia merenungnya tajam dengan warna mata kemerahan. Balkistahu Amelia tidak akan melepaskan dia.

            “Kau nak aku mati. Aku akan mati!” Balkis terjun. Tubuhnya melayan-layang jatuh menghempap ke bumi.

            Darah mengalir dari kepala Balkis, mulut dan lubang hidung. Balkis sudah tidak berkutik lagi. Suasana di hospital itu menjadi kecoh.    

            Tidak jauh dari lokasi kejadian, Baim berdiri mendongak ke bumbung hospital. Apa yang dilihat oleh matanya mungkin tidak dilihat oleh mata mereka yang lain. Perempuan berbaju merah itu menghilang sebaik melihat mangsanya mati.

            Baim mengalih pandangan pula pada susuk tubuh manusia yang tidak jauh darinya. Dia cuba untuk mendekati tetapi susuk tubuh manusia itu bertindak lebih pantas menyelit masuk ke dalam kereta lalu beredar.

            Baim berhenti untuk mengejar. Dia perlu melaporkan apa yang dilihatnya kepada Zaim.

****************************************************

SEDUTAN terakhir rokoknya yang tidak memberikan sebarang nikmat atau kepuasan. Rokok itu ditenyeh pada bekas aluminium berbentuk bulat itu. Baim mengapai foro-foto yang diambil lalu dilekatkan pada dinding yang sudah punya ruangan khas. Matanya merenung foto-foto terbabit.

            Dia tidak pernah mengerti mengapa gambar-gambar itu harus ada ‘mereka’ yang kelihatan seperti menumpang di situ. Dia memakukan pada gambar Azhnita dan perempuan di belakang gadis itu. Dia mula merasai kehadiran perempuan itu saat pertama kali bertemu dengan Azhnita. Tiada niat untuk menakut-nakutkan gadis yang tampak ego itu.

            Baim berbaring pada sofa dengan sebelah lengannya diletakkan pada dahi. Baim memandang syiling. Kipas syiling berputar dengan perlahan. Dia memenjamkan matanya.

            Rumahnya berselerak. Ibunya terlantar di lantai dengan tubuh berlumuran darah dengan kesan cakaran. Ayahnya juga begitu. Baim memeriksa keadaan ibunya. Ibunya tidak bernyawa lagi. Tubuh ayahnya yang lemah dipangku.

            Ayahnya menghalakan jari telunjuk ke arah bilik. Ayahnya diangkat lalu dibaringkan atas sofa.
“Bahiyah!” Baim segera meluru masuk ke bilik adiknya. Susuk tubuh makhluk  bertanduk dan berbulu hitam sedang rakus menghisap darah adiknya sehingga kering.

“Iblis laknat!” Baim berteriak garang menyerbu ke arah makhluk itu. Dengan sebelah tangan makhluk itu menghalang tindakannya.

Baim terpelanting hingga tubuhnya melanggar dinding. Darah tersembur keluar dari mulutnya. Bagaikan ada kuasa memasung kedua kaki dan tangannya di dinding. Dia hanya mampu melihat tubuh adik perempuan terkulai tidak bernyawa dengan kekeringan darah. Apabila makhluk itu menoleh ke arahnya, satu kejutan buat Baim. Makhluk itu menyeringai lalu merempuh jendela bilik dan menghilang. Baim berjaya menggerakkan tubuhnya semula. Dia mendakap tubuh adiknya yang sudah tidak bernyawa lagi.

“Bahiyah!”

Kelopak mata Baim terbuka. Dia bingkas bangun meraup wajah. Sehingga hari ini dia masih tidak menemui manusia yang bersekutu dengan iblis itu.

“Aku akan mencari kau sampai ke lubang cacing!” Hati Baim bersuara. Nekadnya tidak akan berubah walau makan masa beribu tahun.



Bersambung...

*ralat - kesilapan pada nama. Patutnya Azhnita tapi tertaip Zahnita since dari bab 1. Diperbetulkan dah.

1 comment:

Sha Mohamed said...

Ohsem.. Ada kenangan silam rupanya..